fbpx

Benzema raih pendapatan lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENZEMA menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Al Ittihad selepas meninggalkan Real. - AFP

MADRID – Penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema akhirnya sah menyertai kelab juara Liga Arab Saudi, Al Ittihad selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun pada awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Benzema telah bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama pasukan Real Madrid berakhir selepas mengambil keputusan untuk merasai ‘angin baharu’ dalam kariernya.

Difahamkan, penyerang berusia 35 tahun itu telah melengkapkan sesi ujian perubatan di ibu kota Sepanyol semalam dan bakal menerima gaji sebanyak €100 juta (RM492.2 juta) setahun.

Kata Benzema, keputusan untuk berhijrah sangat mudah untuk dilakukan kerana mahu merasai pengalaman bermain bola sepak di negara baharu selepas hampir 14 tahun berbakti bersama The Galacticos sejak 2009.

“Saya sangat teruja apabila dapat berhijrah ke Al Ittihad dan ini adalah fasa baharu dalam karier saya. Secara jujur, tiada apa lagi yang perlu saya buktikan di Eropah kerana telah menjuarai segala-galanya.

“Sudah tiba masanya untuk saya mencari projek baharu dan apa yang ditawarkan oleh Al Ittihad sangat sukar untuk ditolak kerana mereka adalah kelab terbesar di Asia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Al Ittihad, Anmar Bin Abdullah Alhailae mengakui bagaikan tidak percaya apabila pemenang Ballon d’Or edisi 2022 itu bersetuju untuk menyertai pasukan musim depan.

“Ini adalah detik bersejarah buat kelab kami kerana Benzema adalah pemenang Ballon d’Or dan kehadirannya akan menguatkan lagi pasukan,” katanya.

Selain Benzema, tiga lagi pemain ternama Eropah seperti Luka Modric, Hugo Lloris dan N’Golo Kante turut diburu kelab berpangkalan di Riyadh itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI