fbpx

Bapa rayu Shu Chyi pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Boon Chai menunjukkan laporan polis dan gambar Shu Cyhi ketika hadir di pejabat Gerakan, Jalan Macalister hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang bapa mengharapkan anak perempuan sulungnya yang menghilangkan diri sejak 1 Mei lalu agar segera pulang ke pangkuan keluarga.

Tan Boon Chai, 57, berkata, anaknya, Tan Shu Chyi, 25, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat di Kuala Lumpur sudah tidak dapat dihubungi menerusi telefon dan menghilang tanpa khabar berita.

“Sebagai bapa saya amat bimbang dengan keadaan anak saya, dia bekerja di Kuala Lumpur sejak tahun 2022, sebelum ini kami selalu berhubung menerusi panggilan telefon.

“Cuma sejak 1 Mei lalu, dia tiba-tiba menghilang diri dan sejak dari tarikh itu kami sekeluarga tidak dapat tidur lena kerana memikirkan keselamatannya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Gerakan, di sini hari ini. Turut hadir ialah Jurucakap Parti Gerakan Sungai Pinang, Mok Kok On.

Boon Chai yang bekerja sebagai kontraktor berkata, dia mengesyaki kehilangan anaknya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berpunca daripada masalah hutang.

“Ini kerana pada pertengahan Mei lalu, saya menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan anak perempuan saya ada berhutang dengannya kira-kira RM2,500.

“Jumlah hutang ini telah meningkat sehingga RM6,000 (termasuk kadar faedah) dan mungkin jumlah ini akan terus meningkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia amat berharap anak perempuannya itu pulang segera bagi berbincang dan menyelesaikan segala masalah agar mereka sekeluarga dapat hidup tenang serta bahagia seperti dahulu.

“Apa sahaja masalah boleh diselesaikan bersama keluarga, cuma dia perlu pulang dengan selamat dan tidak menghilangkan diri.

“Saya tidak dapat mencarinya di Kuala Lumpur kerana dia tidak pernah memaklumkan alamat tempat tinggalnya di sana, malah dia juga tidak mempunyai banyak kawan,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga telah membuat laporan berhubung kehilangan anaknya itu di Balai Polis Jalan Patani di sini semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI