fbpx

Tuisyen online secara kreatif dan interaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Platform ILMOORE yang dibangunkan oleh pihak Telaga Biru Digital telah dilancarkan secara rasmi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PEMBELAJARAN secara dalam talian merupakan salah satu alternatif untuk membantu pelajar menguasai mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.

Selain itu, portal rujukan ini dapat membantu memberikan lebih kefahaman kepada pelajar, selain sesi pembelajaran di dalam kelas.

Seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini, peneraju dunia percetakan, Telaga Biru telah mengorak langkah dengan menubuhkan Telaga Biru Digital.

Ia sebagai satu inisiatif untuk memenuhi keperluan terhadap pendigitalan kandungan yang berkualiti.

Selain itu, ia bertujuan menghasilkan kandungan melalui platform dalam talian berdasarkan empat teras utama, iaitu mesra Muslim, pendidikan sepanjang hayat, adab dan akhlak serta mudah akses.

Dengan pengalaman menerbit buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Telaga Biru Education, Telaga Biru Digital telah menyahut cabaran era pemodenan dengan membangunkan platform Interactive Learning Media (ILM) atau ILMOORE.

Ketua Pengarah Eksekutif, Telaga Biru Digital, Nor Azri Jalel berkata, ILMOORE merupakan satu platform tuisyen online bagi membantu pelajar, guru dan ibu bapa dalam pembelajaran kendiri.

“ILMOORE bertemakan ‘Fun Learning and Fully Guidance’.

“Ia menyajikan beberapa fitur (muka perisian pengaturcaraan) yang menarik untuk pembelajaran pelajar dari awal persekolahan sehingga menjelang peperiksaan.

“Platform ini menyediakan tuisyen online kepada pelajar bermula daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah,” katanya kepada Kosmo! pada sewaktu pelancaran ILMOORE di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, kepakaran dan penglibatan golongan profesional yang bersesuaian untuk setiap subjek serta pembelajaran dalam ILMOORE dapat membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan lebih efisien.

Berteraskan mudah akses, ILMOORE telah menawarkan fitur-fitur yang menarik untuk membantu para pelajar belajar secara kendiri.

Antara fiturnya adalah video interaktif, flash card dan peta minda, nota menarik, kuiz, latih tubi, peperiksaan serta banyak lagi.

Platform ILMOORE dapat membantu para pelajar meningkatkan kefahaman mereka dalam pelbagai subjek seperti Pendidikan Islam dan Sains.

Terdapat tujuh subjek awal yang diperkenalkan oleh ILMOORE iaitu, Sains tahun empat, Bahasa Arab tahun enam dan Pendidikan Islam tahun enam.

Sementara itu, bagi subjek sekolah menengah adalah Usuluddin tingkatan satu, Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah (PQS) tingkatan empat, Jauharah Tauhid tingkatan empat dan Tafsir Nasafi tingkatan empat.

Namun, subjek-subjek lain akan terus dikemas kini dari semasa ke semasa.

Jelas Nor Azri lagi, platform ILMOORE mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Dengan bertemakan mudah dan menyeronokkan, video disampaikan dalam bentuk kreatif dan interaktif.

“Misalnya, eksperimen, animasi dan kuiz-kuiz yang menarik bertepatan dengan standard KPM.

“Oleh itu, para pelajar dapat mengulang kaji pelajaran-pelajaran yang lepas untuk membuat ulang kaji,” ujarnya.

Kongsi Nor Azri lagi, konsep video yang menarik dapat memberikan keseronokan kepada pelajar untuk terus belajar dan menguasai subjek tersebut dengan cemerlang.

Platform ILMOORE boleh dilanggan dengan harga serendah 27 sen sehari, iaitu RM100 untuk setiap satu subjek sepanjang sesi persekolahan mengikut darjah atau tingkatan.

Tambahnya, ILMOORE telah menyusun strategi daripada awal pembelajaran hingga peperiksaan bagi pelajar mendapat skor A+.

Bahan-bahan yang terdapat dalam ILMOORE sentiasa dikemas kini untuk memantapkan pemahaman pelajar. Contohnya, Practices yang menyediakan minimum 1,000 soalan latih tubi.

“Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, ILMOORE juga memberikan soalan-soalan ramalan, teknik menjawab dengan penerangan jawapan serta rujukan halaman muka surat berdasarkan buku teks KPM.

“Justeru itu, para pelajar dapat meramal soalan yang bakal keluar dan bersedia untuk menduduki peperiksaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI