fbpx

Sekolah dibenar laksana aktiviti luar bermula semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan semula aktiviti luar di semua institusi pendidikannya selepas ditangguhkan sebelum ini susulan cuaca panas.

Perkara itu dinyatakan menerusi surat siaran dan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Semasa Cuaca Panas dikeluarkan semalam yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Norisah Suhaili.

KPM berkata, pihaknya membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin.

“Walaupun aktiviti luar sudah dibenarkan, namun pihak sekolah boleh menangguhkan aktiviti jika berlaku peningkatan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

“Garis panduan itu antara lain menetapkan supaya pihak sekolah atau institusi menyediakan kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (kanopi atau payung), ais atau tuala basah,” katanya.

Menurutnya, pentadbir juga perlu memastikan murid minum air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas aktiviti dengan menyediakan bekalan air minuman serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

“Pihak sekolah juga perlu memastikan penyertaan murid adalah secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga termasuk menggalakkan murid memakai pakaian bersesuaian dan berwarna cerah.

“Selain itu, sekolah perlu membenarkan waktu rehat tambahan semasa aktiviti dan waktu pemulihan (cooling down) mencukupi selain penyesuaian tempoh, waktu mula dan waktu tamat acara berdasarkan perubahan cuaca,” katanya.

Katanya, garis panduan itu turut menyatakan pihak pentadbir perlu merujuk kepada klinik atau hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang kes dan komplikasi kepada murid akibat fenomena berkenaan.

“Kes berkaitan keselamatan dan kesihatan perlu dilaporkan kepada ibu bapa dan penjaga dengan kadar segera.

“Garis panduan itu diharap dapat menjadi rujukan kepada semua institusi pendidikan bawah KPM sekali gus mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas semasa melaksanakan aktiviti luar bilik darjah.

“Garis panduan hendaklah dipatuhi supaya kesan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan seperti hipertermia atau strok haba dan dehidrasi dapat dielakkan,” katanya.

Pada 4 Mei lalu, KPM mengarahkan semua institusi pendidikannya supaya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

KPM memaklumkan, larangan itu termasuk merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI