KUALA LUMPUR – Dua pemain tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa serta Safawi Rasid kembali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menjelang aksi antarabangsa menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea bulan ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Natxo yang kini berusia 37 tahun mewakili negara adalah pada tahun 2018 sewaktu pasukan kebangsaan dikendalikan Tan Cheng Hoe.
Kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol itu dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak Selangor FC, Brendan Gan yang tidak disenaraikan kali ini.
Sementara itu, Safawi yang diketepikan pada aksi kalendar antarabangsa FIFA pada Mac lepas turut dipanggil semula ke kem latihan pusay yang akan dilangsungkan di negeri kelahirannya, Terengganu bermula Sabtu ini.
Safawi yang juga salah seorang kapten skuad Harimau Malaya telah mewakili kelab Thailand, Ratchaburi FC sejak awal tahun ini sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan JDT bulan lalu.
Menerusi senarai panggilan pemain, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lalu.
Sementara itu, tonggak pertahanan negara, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.
Kehilangan Cools bakal diisi pertahanan muda JDT, Feroz Baharudin yang turut mendapat panggilan pertamanya bersama skuad senior negara.
Skuad negara akan menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun sebelum mengalihkan tumpuan pada aksi bertemu Papua New Guinea (20 Jun) dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. – KOSMO! ONLINE
INFO
Senarai 27 pemain skuad Harimau Malaya kali ini;
PENJAGA GOL
Ahmad Syihan Hazmi (JDT)
Sikh Izhan Nazrel (NSFC)
Azri Abdul Ghani (KL City)
PERTAHANAN
Shahrul Saad (JDT)
Corbin Ong (JDT)
Matthew Davies (JDT)
Syahmi Safari (JDT)
Feroz Baharudin (JDT)
Junior Eldstal (JDT)
Dominic Tan (Sabah)
Daniel Ting (Sabah)
Azam Azmi Murad (TFC)
TENGAH
Syamer Kutty Abba (JDT)
Endrick dos Santos (JDT)
Natxo Insa (JDT)
Mukhairi Ajmal (Selangor)
Syahir Bashah (Selangor)
Stuart Wilkin (Sabah)
Paulo Josue (KL City)
Lee Tuck (Kedah)
Nooa Laine (SJK Seinajoki)
PENYERANG
Arif Aiman (JDT)
Akhyar Rashid (JDT)
Safawi Rasid (JDT)
Faisal Halim (Selangor)
Haqimi Azim Rosli (KL City)