fbpx

Pesawah terus rugi, siapa pula yang untung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pesawah terpaksa mencari pekerjaan baharu selepas 20 tahun mengusahakan sawah pagi. Gambar hiasan

SEORANG sahabat penulis mengambil keputusan nekad berhenti kerja di Kuala Lumpur 20 tahun lalu selepas ditawarkan bapanya untuk mengusahakan tanah sawah.

Dengan semangat membara, dia yang ketika itu berumur 20-an berazam menjadikan kerjaya bersawah sebagai sumber pendapatan.

Bermula dari hari itu dia gigih membanting tulang dari pagi sehingga matahari terbenam, bermandi lumpur tanpa memikirkan apa yang dikatakan rakan-rakan sebayanya yang masih di bandar.

Kini selepas 20 tahun berlalu, dia yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sekali lagi terpaksa membuat keputusan nekad, berhenti daripada me­ngusahakan sawah.

Kerugian yang ditanggung enam musim sawah yang lalu menyebabkan hutang semakin bertambah dan tiada lagi modal pusingan untuknya mengusahakan sawah. Akibat itu, dia me­ngalami stres sehingga menjejaskan kesihatan.

Itulah hakikat dihadapi pesawah pada masa ini yang terpaksa menanggung kerugian dan memerah keringat demi menghasilkan makanan ruji rakyat.

Dengan harga racun yang naik, tetapi penyakit padi dan serangan serangga perosak bertambah, keadaan cuaca tidak menentu, kos kerja meningkat, potongan jualan padi yang tinggi malah ada subsidi yang dikurangkan membuatkan pesawah terus terbeban.

Ada yang terpaksa berhutang, ada yang bergadai untuk meneruskan kerja di musim baharu, bagi yang sudah tiada apa-apa terpaksalah berhenti bersawah dan mencari kerja lain untuk sara hidup keluarga.

Hakikatnya bukan soal lemah semangat, tetapi jika lima kali sawah tidak menjadi di mana lagi modal yang boleh digali sedang­kan makan sendiri pun susah.

Exco Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Ra­shid Yob berkata, masalah bertimpa-timpa yang dihadapi pesawah menyebabkan kehidupan mereka terhimpit, ditambah pula kos sara hidup yang meningkat.

Katanya, tidak menghairankan rata-rata pesawah sentiasa berdepan kerugian meskipun beras (padi) adalah makanan ruji rakyat negara ini setiap hari.

Tegasnya, selain masalah pe­nyakit padi, cuaca, kenaikan harga racun, kos aktiviti, infrastruktur sawah, masalah lain yang terus membelenggu adalah monopoli dan kartel sehingga membuatkan pesawah yang terpaksa berkorban jiwa raga.

Dia memberitahu dalam industri padi negara, hanya 30 pera­tus proses melibatkan pesawah dan 70 peratus lagi oleh pihak-pihak lain yang mampu mengaut keuntungan berlipat ganda termasuk melalui subsidi.

Tambahnya, varieti padi di negara ini juga adalah ketinggalan berbanding dengan negara jiran lain yang sudah berjaya menghasilkan padi yang terbaik sehingga membuatkan mereka mampu menampung sara hidup.

Jelasnya, jika ini berterusan dan tiada tindakan sewajarnya termasuk perbincangan melibatkan semua pihak, tidak mustahil satu hari kelak tiada pewaris yang mahu mengusahakan tanaman padi apabila tidak menarik minat anak-anak muda.

Itulah yang berlaku kepada pesawah, mereka terus berhadapan kerugian sedangkan ada pihak lain mengambil kesempatan boleh hidup senang lenang.

Kerajaan harus memberi perhatian segera, kerana ini bukan sahaja soal survival rakyat yang juga pesawah – turun padang dan bertemu pesawah, lakukan post mortem, perbetulkan keadaan.

Ingatlah, ini juga adalah isu survival makanan ruji negara yang difahamkan kini hanya mampu menampung 70 peratus keperluan padi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI