ALOR SETAR – Pas Kedah hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan fakta sejarah dengan sokongan kajian yang kukuh serta tidak boleh diputar belit.
“Pas Kedah ingin menegaskan bahawa mempertahankan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya juga berpegang kepada pendirian bahawa isu berkenaan tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.
“Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.
“Oleh itu, Pas Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah. Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Sanusi dengan mereka lebih berminat menjatuhkan MB Kedah berbanding berbahas soal sejarah,” ujarnya.
Ahmad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu berkenaan.
“Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar PH (Pakatan Harapan) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.
“Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan Muhammad Sanusi sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan yang dibuat pada 29 Mei lalu bahawa Pulau Pinang milik Kedah dan tidak ada sempadan antara kedua-dua negeri itu. – KOSMO! ONLINE