fbpx

Misi SAR Hawari ditamatkan atau disambung dibincang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hawari

PUTRAJAYA – Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) akan mengadakan mesyuarat bersama pihak berkaitan pada esok bagi memuktamadkan status misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, perbincangan itu akan diadakan di Kathmandu, Nepal bersama pihak berkuasa Nepal dan Kedutaan Malaysia di sana.

“Kami akan mendapatkan pandangan sama ada SAR itu akan ditamatkan atau disambung dengan kaedah dan alternatif lain.

“Pada pertemuan esok, kami akan membentangkan laporan penuh insiden dan misi SAR yang dijalankan sejak 20 hari lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, SAR menggunakan dron berteknologi tinggi sejak lima hari lalu serta carian melalui jalan darat sejak 19 Mei lalu gagal menjejaki dan mengesan Muhammad Hawari sebelum operasi ditamatkan petang kelmarin.

Azim berkata, pihaknya ketika ini masih meneliti imej dan video yang dirakam dron sejak empat hari lalu menerusi skin lebih besar bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

Menurutnya, operasi SAR lebih banyak dilakukan melalui jalan darat menggunakan kepakaran tenaga malim gunung berbanding SAR udara menggunakan helikopter yang menelan kos lebih tinggi.

“Pada kesempatan ini, kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa Nepal kerana telah memberi pelepasan ihsan untuk menyambung operasi SAR selama lima hari yang berakhir hari ini,” katanya.

Semalam, ME2023 memutuskan untuk menamatkan SAR menggunakan dron sehari lebih awal selepas alat itu mengalami masalah.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu (Jumaat) selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI