KANGAR – Seorang guru yang pernah menjadi mangsa penipuan scammer sehingga kerugian RM360,000 memohon bantuan bagi menampung kos rawatan anak sulungnya yang menghidap leukemia sejak Mei 2021.
Nur Atiqah Ismail, 34, berkata, anaknya, Muhammad Al Faateh berusia enam tahun pada mulanya menghidap demam berpanjangan dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini untuk rawatan.
“Pihak HTF kemudian merujuk anak saya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi melakukan ujian air tulang belakang sebelum disahkan menghidap leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia),” katanya di kediamannya di Kampung Guar Syed Alwi, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, suaminya, Mohd. Noor Safri Cha, 35, yang bekerja sebagai posmen terpaksa mengambil cuti separuh gaji untuk tiga bulan pertama.
Katanya, suami juga mengambil cuti tanpa gaji pada bulan berikutnya sampai setahun setengah sehingga siri rawatan kemoterapi anaknya selesai.
“Di saat sibuk menguruskan anak sakit, saya diperdaya scammer sehingga kerugian RM360,000 beberapa bulan lalu. Habis duit simpanan bank, Tabung Haji, amanah saham dan duit pinjaman peribadi lesap ditipu scammer.
“Kesannya, gaji yang saya peroleh setiap bulan negatif kerana terpaksa membayar hutang peribadi selama 10 tahun,” ujarnya.
Katanya, dia kini mengajar kelas tuisyen bagi menampung pembelanjaan harian, manakala pendapatan bulanan suaminya sekadar cukup makan.
Tambahnya, buat masa ini, Muhammad Al Faateh perlu mendapatkan rawatan susulan sebulan sekali di HPP dan mereka memerlukan kos antara RM300 hingga RM350 setiap sesi termasuk kos tol, bahan bakar dan makanan serta upah pemandu.
Katanya, dia tidak menerima mana-mana bantuan daripada pihak berkaitan dan hanya mengharapkan sumbangan saudara mara dan rakan-rakan terdekat buat masa ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nur Atiqah Ismail bernombor 162058915656.