KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan dia tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan 43 barang kemas kerana ia sudah diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini kerana Rosmah, 72, mendakwa jelas bahawa barangan kemas tersebut telah diambil oleh PDRM dan/atau Kerajaan Malaysia melalui suatu operasi undang-undang.
Menerusi pernyataan tuntutan pembelaan yang difailkan Tetuan Reza Rahim dan Rajivan di Mahkamah Tinggi di sini semalam, Rosmah berkata, jika ia hilang maka pihak polis dan kerajaan yang perlu menanggung kerugian syarikat barang kemas dari Lubnan itu.
“Saya menegaskan bahawa kenyataan bahawa barang-barang kemas tersebut telah diambil oleh pihak polis dan Kerajaan Malaysia adalah bermerit kerana satu daripada barangan kemas telah dijumpai dalam milikan mereka.
“Umum tahu bahawa semua harta bernilai milik saya dan keluarga telah dirampas jadi, ia tidak mungkin saya boleh menyimpan barang kemas bernilai jutaan ringgit tersebut, malah ketika waktu berkenaan, saya tidak dibenarkan untuk keluar negara,” katanya.
Pada masa sama, Rosmah turut menafikan telah meminta barangan kemas seperti yang didakwa Global Royalty.
Beliau menegaskan, kemas berkenaan diserahkan kepadanya adalah bagi manfaat dan keuntungan syarikat terbabit bagi menarik publisiti dan kredibiliti dalam kalangan pembeli.
Ini kerana katanya ketika itu beliau merupakan isteri seorang Perdana Menteri, maka syarikat tersebut inginkan publisiti berhubung produk dan ingin dirinya menjadi pelanggan mereka.
Oleh demikian, Rosmah berkata, barang kemas diserahkan kepadanya untuk dilihat atas kehendak dan kerelaan plaintif, tanpa ada kewajipan baginya untuk membeli.
Dalam pada itu, Rosmah turut memaklumkan semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan tersebut telah diambil dan akan membutirkan ciri-ciri keselamatan itu semasa perbicaraan kelak.
Maka katanya, defendan tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kehilangan barangan kemas dan memohon kepada mahkamah supaya menolak tuntutan plaintif dengan kos atas dasar tanggung rugi penuh.
Sebelum ini, pada 12 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah untuk memfailkan pembelaan dalam masa berhubung saman RM67.46 juta yang difailkan oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas, Global Royalty Trading SAL.
Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lalu dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia.
Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan.
Global Royalty berkata adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.
Plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE