fbpx

Mahkamah: Anak bekas menteri MC, tak hadir sebutan semula kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjamin mengemukakan sijil MC anak bekas menteri berkenaan di Mahkamah Seksyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

SEREMBAN – Seorang anak kepada bekas menteri tidak hadir di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini kerana mendapat cuti sakit (MC) bagi sebutan semula kes membabitkan sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada tahun lalu.

Pada 5 April lalu, tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, 39, dan kenalannya Azizul Abdul Halim, 55, yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Hakim kemudiannya menetapkan semula tarikh sebutan semula kes pada 12 Julai ini bagi tujuan memfailkan representasi dan jaminan dilanjutkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala orang kena saman (OKS), Muhammad Faisal diwakili peguam Nasuha Badrul Din yang turut mengemukakan sijil MC berkenaan yang di bawa penjamin.

Berdasarkan pertuduhan sebelum ini, kedua-dua mereka didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini dan perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.

Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.

Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang pada kira-kira pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.

Syarikat berkenaan juga didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai dan kesalahan turut dilakukan pada 12 Ogos tahun lalu di Pejabat KPDN di Seremban 2 di sini.

Mazni kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI