LENGGONG – Bangkai lembu dipercayai diserang binatang buas dengan kesan gigitan dan cakar ditemukan penduduk di Kampung Chepor di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, binatang buas itu dipercayai harimau berdasarkan kesan tapak kaki yang dijumpai di kawasan berkenaan.
Katanya, setakat ini pihaknya percaya hanya seekor harimau berkeliaran di lokasi tersebut.
“Sehingga kini, kita hanya menerima satu aduan berkaitan ternakan penduduk diserang binatang buas.
“Berdasarkan penemuan tapak kaki, kita percaya milik harimau dan seekor sahaja yang disyaki berkeliaran di kawasan itu. Bagaimanapun, jumlah sebenar haiwan liar itu akan diketahui menerusi tiga ‘camera trap’ yang telah pun dipasang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, perangkap akan pasang di kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah alternatif mengurangkan risiko serangan terhadap ternakan penduduk.
Katanya, bagi menjamin keselamatan, penduduk setempat juga dinasihatkan agar tidak bersendirian ke kebun atau hutan ketika awal pagi dan lewat malam dan pastikan ternakan mereka berada di dalam kandang. – KOSMO! ONLINE