KULAI – Seorang pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam longkang sedalam lima meter di Taman Puteri, di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.21 pagi.
Sehubungan itu katanya, seramai enam anggota beserta sebuah jentera dari BBP Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di sana, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah terbabas dan terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman lima meter.
“Mangsa iaitu pemandu yang merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun didapati maut dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Firdaus, anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum membawa mangsa naik menggunakan ‘stretcher’.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi itu kemudian ditamatkan pada pukul 3.32 pagi,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE