HELSINKI, FINLAND – Seorang ahli perniagaan dari Finland didenda €121,000 (RM594,967) selepas memandu kereta pada kelajuan 82 kilometer sejam (km/j) dalam zon 50 km/j di Kepulauan Aaland, Laut Baltic, lapor agensi berita Anadolu Agency.
Akhbar tempatan, Nya Aaland melaporkan pada Isnin lalu bahawa Anders Wiklof, salah seorang lelaki terkaya di Finland didenda dalam jumlah yang besar berdasarkan kepada pendapatannya.
Lesen memandunya juga digantung selama 10 hari kerana memandu secara laju.
“Saya sangat menyesali perkara itu. Saya baru sahaja memperlahankan kereta. Namun, mungkin ia tidak berlaku dengan pantas,” katanya.
Wiklof berkata, had laju berubah secara tiba-tiba iaitu dari 70km/j kepada 50km/j menyebabkan dia sukar menukar kelajuan. – Agensi