SINGAPURA – Seorang wanita membuat anaknya melutut dan meminta maaf kepadanya di hadapan orang ramai di sebuah medan selera di Singapura, lapor laman berita Stomp semalam.
Gambar kejadian itu disiarkan di laman Instagram @sgfollowsall pada 31 Mei lalu.
Menurut catatan di laman itu, individu yang merakam gambar tersebut berkata, ibu berkenaan telah membuatkan anaknya itu berlutut dan meminta maaf kepadanya.
“Cara dia berlutut kelihatan seperti dia telah melakukannya (kesalahan) 100 kali (sebelum ini),” katanya.
Wanita itu juga menjerit kepada budak lelaki tersebut yang turut mengganggu pengunjung di sekeliling mereka.
Pada satu ketika, bapa budak lelaki itu, yang duduk bertentangan dengan mereka memberitahu isterinya agar membenarkan budak lelaki itu makan tengah hari.
“Keseluruhan kejadian ini berlaku selama kira-kira sejam dan ia terasa seperti sejam paling lama dalam hidup saya,” kata seorang individu.
Punca kejadian itu bagaimanapun tidak dinyatakan. – Agensi