PETALING JAYA – Seorang pelawak solo wanita berasal dari negara jiran dikecam hebat oleh orang ramai setelah tindakannya menghina Malaysia menerusi persembahannya di pentas komedi negara berkenaan pada Selasa lalu.
Dalam satu video berdurasi satu minit 29 saat yang tular, wanita terbabit dilihat sengaja mempersenda Malaysia dengan membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan Malaysia dan negaranya.
Antara isu yang dijadikan bahan jenaka dalam pentas komedi itu adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding negaranya yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia.
Dalam video sama, wanita itu juga sempat memetik isu pesawat MH370 yang hilang pada tahun 2014 dan kehilangan pesawat adalah perkara kelakar baginya.
Susulan perkara itu, orang ramai turut ‘panas’ dan melabel pelawak wanita berkenaan tidak sensitif setelah menjadikan isu kehilangan pesawat itu sebagai bahan jenaka.
“Hina kami semahu-mahunya dan katakan perkara buruk tentang kami sesuka hati. Tetapi jangan sekali-kali membuat jenaka tentang pesawat yang kita hilang. Banyak nyawa terkorban pada hari tersebut.
“Keluarga masih berkabung atas kehilangan mereka. Sungguh menyedihkan apabila satu peristiwa dijadikan jenaka untuk membuat serangan peribadi. Ia sangat tidak menyenangkan. Anda hanya akan merasa sekiranya anda berada di tempat keluarga si mati,” ujar seorang pengguna TikTok.
Rata-rata rakyat Malaysia menggesa agar pihak polis menjalankan siasatan terhadap pelawak wanita itu rentetan tindakannya yang tidak sensitif serta membuat penghinaan terang-terangan terhadap Malaysia. -KOSMO! ONLINE.