PETALING JAYA – “Kalau boleh tukar sakit itu, biar saya yang rasa.”
Demikian luahan hati seorang ibu yang juga pelakon Shakilla Khoriri mengenangkan anaknya, Ameena Sofia yang kini diuji masalah kesihatan iaitu jangkitan kuman pada mata.
“Mengambil alih sakit orang yang kita sayang tak sesakit melihat mereka sakit,” katanya lagi.
Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan rezeki untuk sentiasa berada di sisi anak sewaktu dia sedang sakit.
“Bersyukur rasanya bila setiap kali Ameena diuji dengan sakit yang agak teruk, saya ada dengan dia.
“Depan mata pun saya rasa susah hati apa lagi hilang dari pandangan.
“Beginilah saya rasa saya rasa selama tiga hari setiap setengah jam bila dia cakap tak boleh buka mata,” katanya.
Ujar pelakon filem Adnan Semp-It itu lagi, dia tidak tidur lena disebabkan keadaan kesihatan anak tersayang yang memburuk sejak akhir-akhir ini.
“Saya dah tak tengok jam. Cuma tahu terang atau gelap sahaja kejadian dekat luar rumah.
“Tidur tak lena fikir keadaan Ameena begini. Semoga Ameena baik-baik sahaja dan ada sebab Allah jadikan semua ini,” katanya.
Ameena, 4, menghadapi jangkitan kuman pada bahagian mata sejak beberapa hari lalu dan masih dalam proses untuk kembali sembuh seperti biasa.
Shakilla berkahwin dengan penyampai radio Fizi pada 18 Februari 2018 namun bercerai tiga tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE