KUANTAN – Selepas penahanan seorang ketua polis daerah semalam, seorang lagi pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang hari ini dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah.
Pegawai berjawatan pembantu penguat kuasa imigresen negeri itu disyaki meminta dan menerima rasuah bagi melindungi kegiatan pusat urut dan pusat hiburan.
Menurut sumber, pegawai berusia 37 tahun itu turut meminta dan menerima rasuah daripada pemilik kebun dan pemilik kilang kayu di sekitar daerah kawalannya.
Difahamkan bayaran rasuah itu adalah bagi melindungi pekerja-pekerja daripada diganggu oleh imigresen atas kesalahan tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Pegawai imigresen berusia 37 tahun itu disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan antara RM300 sehingga RM3,000 dan dianggarkan berjumlah lebih RM500,000 sejak tahun 2018 hingga 2022,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan dan siasatan dijalankan dibawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE