KOTA TINGGI – Peneroka Felda Bukit Ramun di sini menjadi perintis bagi perlaksanaan tanaman nanas secara sulaman bagi membantu mereka mendapatkan hasil apabila program tanaman semula sawit dilaksanakan tahun depan.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, sebanyak 5,000 biji nanas MD2 diagihkan kepada komuniti di Felda berkenaan bagi menjayakan hasrat tersebut.
“Hari ini kita melaksanakan pilot test bagi para peneroka untuk cuba menanam benih MD2 ini. Idea kita adalah tanaman sawit apabila ditanam semula dalam tempoh tiga hingga empat tahun pertama kita sulamkan dengan nanas MD2.
“Ini akan dapat menambah hasil kepada peneroka yang ada di Felda ini dan Insya-Allah projek ini baik dan jika berjaya maka kita akan perluaskannya lagi di tempat lain.
“Ini juga merupakan pilot test yang pertama namun mungkin sebelum ini ada orang pernah melakukan, tetapi bukan secara terbuka melibatkan komuniti di kampung besar. Mungkin ada tetapi yang betul-betul well-organized ini pertama kali kita lakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tanaman Nanas MD2 Komuniti Felda Bukit Ramun di Dewan Terbuka Felda Bukit Ramun hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi NGO Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, antara sebab utama NGO tersebut melopori usaha itu adalah kerana tahu akan isu tanah terhad untuk tanaman nanas, namun dalam masa sama dapat melihat potensi sedia ada yang begitu banyak dengan melibatkan peneroka.
Tambahnya, beliau juga yakin percubaan di Felda itu secara positifnya akan dapat lihat kos tanam semula yang boleh dikurangkan melalui kolaborasi antara NGO dengan LPNM dan Kulim.
Jelasnya, sekiranya projek berkenaan berjaya beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya tanah Felda bagi usaha tanaman semula dimanfaatkan dengan cara tersebut bagi mengurangkan beban hutang di pihak peneroka. – KOSMO! ONLINE