fbpx

ATM bakal terima jalur lebar satelit percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menerusi perkhidmatan jalur lebar CONNECTme NOW, anggota ATM yang bertugas di kawasan terpencil boleh berhubung dengan insan tersayang.

PETUGAS barisan hadapan iaitu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima perkhidmatan jalur lebar satelit percuma.

Ia hasil Inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MEASAT Global Berhad (MEASAT).

Inisiatif yang dijayakan menerusi perkhidmatan CONNECTme NOW itu akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar satelit percuma kepada tentera di beberapa lokasi sempadan terpencil di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, usaha itu dilaksanakan sebagai mengiktiraf dedikasi anggota tentera dan menyokong ATM dalam menjaga keselamatan sempadan negara.

“Sebagai sebuah syarikat di Malaysia, kami komited menyediakan liputan jalur lebar walaupun di kawasan paling terpencil di negara ini.

“Berjauhan dengan orang tersayang untuk tempoh lama kadangkala terasa sangat mencabar.

“Jadi, kami ingin memudahkan askar kita yang berdedikasi untuk terus berhubung dengan keluarga mereka melalui platform CONNECTme NOW berkelajuan tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, perkhidmatan tersebut kini menyediakan 400,000 sambungan jalur lebar di dalam komuniti terpencil.

Dengan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi, MEASAT memaklumkan, mereka merupakan rakan strategik untuk menjayakan aspirasi kerajaan mencapai 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk pada 2025.

MEASAT juga telah melancarkan satelit MEASAT-3D pada Jun 2022.

Ia bagi membolehkan MEASAT menyediakan perkhidmatan internet satelit pada kelajuan lebih tinggi, iaitu sehingga 100Mbps menerusi Ka-Band.

Dengan peningkatan kapasiti 30Gbps, MEASAT-3D boleh menghubungkan 2 juta komuniti Malaysia terpencil yang tidak memiliki sambungan 4G, 5G atau jalur lebar tetap.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera dan Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada MEASAT.

Ujar beliau, ia penting untuk kesejahteraan anggota tentera sepanjang mereka ditempatkan di pos sempadan terpencil.

“ATM juga mengalu-alukan usaha sektor swasta menyumbang perkhidmatan khusus mereka, terutamanya dalam merealisasikan inisiatif tertentu bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota ATM melindungi keselamatan negara.

“Saya mengharapkan kerjasama lain yang berpotensi pada masa hadapan,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI