fbpx

120,000 kanak-kanak dibunuh, cacat semasa perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. Peperangan memberi kesan yang dahsyat kepada kanak-kanak di bandar Gaza. - Foto AFP

GENEVA, Switzerland – Sebanyak 315,000 pencabulan serius terhadap kanak-kanak berlaku semasa perang antara tahun 2005 hingga 2022, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kelmarin seperti laporan akhbar Saudi Gazette.

Angka itu diterbitkan UNICEF ketika negara, penderma dan komuniti kemanusiaan mengha­diri Sidang Oslo di Norway untuk mencari cara bagi melindungi kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

UNICEF berkata, angka 315,000 itu direkodkan merentasi lebih 30 situasi konflik di Benua Afrika, Asia serta rantau Asia Barat dan Amerika Latin.

Jumlah tersebut termasuk lebih 120,000 kanak-kanak yang terbunuh atau cacat selain sekurang-kurangnya 105,000 kanak-kanak dipaksa untuk berperang, manakala 32,500 yang lain diculik dan lebih 16,000 menjadi mangsa kepada keganasan seksual.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan lebih 16,000 serangan ke atas sekolah dan hospital berlaku sepanjang tempoh itu di samping lebih 22,000 kes di mana akses kemanusiaan untuk kanak-kanak dinafikan.

Angka sebenar bagaimanapun jauh lebih tinggi, tegas UNICEF.

Menurutnya, berjuta-juta kanak-kanak hilang tempat tinggal dan terpisah daripada komuniti mereka semasa perang tercetus. Mereka juga hilang keluarga, rakan atau dipisahkan daripada ibu bapa atau penjaga.

“Mana-mana perang yang tercetus akhirnya menjadi perang terhadap kanak-kanak,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.

“Pendedahan kepada perang mendatangkan kesan buruk yang mengubah kehidupan kanak-kanak. Walaupun kita tahu apa yang perlu dibuat untuk melin­dungi mereka, dunia tidak me­lakukan secukupnya. Tahun demi tahun, PBB merekodkan tragedi yang boleh diramalkan,” tambahnya.

Menurut UNICEF, menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan perlindungan ke atas kanak-kanak yang paling terdedah kepada peperangan.

Tabung PBB itu menyokong penjagaan dan perlindungan berjuta-juta kanak-kanak yang terjejas merentasi situasi konflik termasuk melalui penyediaan kesihatan mental dan sokongan psikososial.

Ia merangkumi pengurusan perlindungan kanak-kanak, pengesanan dan penyatuan se­mula dengan keluarga dan perkhidmatan untuk kanak-kanak yang terselamat daripada keganasan berasaskan jantina.

Tahun lalu, UNICEF menyatukan semula hampir 12,500 bekas askar kanak-kanak dengan ibu bapa masing-masing atau memberikan sokongan lain. Ia juga membantu lebih sembilan juta kanak-kanak mengelakkan pe­ninggalan perang seperti periuk api.

Agensi itu berkata, bantuan yang perlu diberikan adalah jauh melebihi daripada keupayaan pembiayaan.

Analisis baharu oleh Ramalan Tabung Kemanusiaan di bawah UNICEF serta beberapa agensi berkaitan yang lain mendedahkan bahawa menjelang 2024, perlindungan kanak-kanak memerlukan peruntukan berjumlah AS$1.05 bilion (RM4.83 bilion) dan meningkat kepada AS$1.37 bilion (RM6.30 bilion) menjelang 2026.

Dana itu adalah bagi mena­ngani keperluan untuk melin­dungi kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

Jika kadar pembiayaan kemanusiaan semasa ini berterusan, UNICEF akan mengalami kekurangan dana sebanyak AS$835 juta (RM3.8 bilion) pada 2024 dan meningkat kepada AS$941 juta (RM4.3 bilion) menjelang 2026.

Jurang besar itu boleh menyebabkan kanak-kanak yang terjejas akibat konflik terdedah kepada kesan jangka pendek dan jangka panjang peperangan, buruh kanak-kanak, pemerdagangan manusia dan keganasan.

Pada persidangan di Oslo tersebut, UNICEF menyeru kerajaan di seluruh dunia supaya membuat komitmen baharu yang berani termasuk menegakkan undang-undang serta norma antarabangsa sedia ada untuk melindungi kanak-kanak semasa peperangan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI