KLANG – Kira-kira 1,200 tan sisa pepejal daripada kapal dagang dikendalikan fasiliti kemudahan penerimaan (PRF) di Pelabuhan Utara di sini, sejak beroperasi tiga tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Utara, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, jumlah tersebut meningkat daripada 111 tan pada 2020 dengan kemudahan disediakan pada PRF tersebut bagi mengumpul sisa, campuran minyak dan sampah dijana daripada kapal.
Katanya, pelabuhan utara merupakan yang pertama mempunyai PRF dalam negara ini hasil kerjasama Alam Flora Environmental Solutions (AFES) selain salah satu daripada 15 PRF di dunia.
“Kita kutip, proses di PRF sebelum dihantar ke tempat pelupusan sewajarnya. Kalau tidak buat, besar kemungkinan berlaku pencemaran di laut dan kerjasama dengan AFES ini membolehkan kita mengesan pergerakan sisa itu. Sejak mula beroperasi pada 2020 sebanyak 111 tan sisa dikendalikan sebelum melonjak hampir 1,200 pada tahun lalu,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Hari Terbuka PRF sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, bersama Ketua Pegawai Operasi AFES, Nazar Abdul Raof.
PRF seluas 0.6 hektar tersebut dibina dengan kos sebanyak RM7juta dan beroperasi sepenuhnya pada Februari 2020 dengan mematuhi Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL).
Azman memberitahu, secara purata sebanyak enam kapal menggunakan PRF ini setiap bulan bagi pelupusan sisa tersebut.
Ujarnya, penggunaan PRF adalah secara sukarela dengan kita menggalakkan kepada syarikat atau ejen perkapalan untuk bersama-sama menggunakannya bagi menjaga alam sekitar.
“Kami percaya dengan kapasiti dan keupayaan, PRF Pelabuhan Utara akan setanding dengan penyedia perkhidmatan PRF antarabangsa lain seperti Pelabuhan Rotterdam di Belanda dan kami juga terbuka dalam perkongsian pengetahuan dengan baru-baru ini mendapat lawatan dari Sabah Port. Apa yang penting dapat bersama-sama mencegah penceramaran marin,” katanya. – KOSMO!ONLINE