fbpx

Adam Corrie kesal difitnah meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Adam Corrie kesal dengan penularan berita palsu yang mendakwa dirinya sudah meninggal dunia.

PETALING JAYA – Pelakon Adam Corrie meluahkan rasa kesal terhadap laporan sebuah laman blog yang menyiarkan berita palsu memaklumkan dirinya sudah meninggal dunia.

Berita yang tular sejak semalam itu sekali gus membuatkan Adam, 55, tidak menang tangan menerima panggilan telefon dan mesej daripada kenalan yang terkejut dengan laporan tidak benar itu.

“Semalam ramai betul ‘tag’, mesej dan telefon untuk tanya betul ke saya sudah meninggal dunia? Ada juga kata bapa saya dan bapa mentua saya yang meninggal.

“Kalau betul (dirinya sudah meninggal dunia), tak adalah saya jawab panggilan telefon dan balas mesej,” tulisnya.

Ujar pemilik nama lengkap Adam Corrie Lee Abdullah itu lagi, mendiang bapanya sudah 14 tahun meninggal dunia, manakala bapa mentuanya pula meninggal sekitar empat tahun lalu.

Jelas pelakon yang pernah membintangi filem KL Gangster itu, dia percaya pemilik laman blog berkenaan sengaja menyiarkan berita sebegitu atas tujuan untuk menarik perhatian pembaca selain mahu menaikkan jumlah pengikutnya.

“Saya percaya mereka yang buat berita sebegini hanya untuk meraih jumlah pembaca dan mahu naikkan pengikut mereka tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain.

“Doa baik-baik untuk semua,” katanya yang turut melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas (hidup) di dunia ini.

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya menarik nafas lega apabila Adam tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul dan mendoakan agar pelakon itu sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Allahuakhbar, berita palsu. Semoga Allah SWT berikan kesihatan kepada abang dan keluarga,” titip seorang pengikutnya.

“Alhamdulillah cuma berita palsu. Ramai peminat terus mendoakan agar abang Adam terus panjang umur bersama keluarga dan kekal bahagia sehingga ke syurga,” kata seorang lagi pengikutnya.

Bulan lalu, pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz turut terkena tempias sama apabila tular laporan sebuah blog melaporkan dirinya telah meninggal dunia.

Lebih membuatkan pelakon itu bengang apabila terpaksa berhadapan dengan fitnah yang sama sebanyak tiga kali dalam tempoh tidak sampai setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI