fbpx

ZAKH lancar single galau ketiga ‘Sekali Saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAKH

MELAKA – Kumpulan duo, ZAKH melancarkan single galau ketiga bertajuk ‘Sekali Saja’ selepas album ‘Jauh’ menerima jumlah tontonan lebih 500,000 di laman Youtube, sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut anggota duo, Zul Ariff dan Kamal Hamidi, album tersebut merupakan buah tangan istimewa buat peminat yang sudi menerima dan memberikan sokongan atas kehadiran mereka dalam industri hiburan tanah air.

Zul atau nama sebenarnya, Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, berkata, ‘Sekali Saja’ merupakan sebuah lagu galau dengan sentuhan lirik kolaborasi bersama Iswandy Atan, Ilusinasi dan dirinya sendiri.

“Lagu ini masih mengekalkan elemen pop balada dengan hasil sentuhan kreatif komposer yang berpengalaman iaitu Iswandy dan saudara Ujang Exist (drummer), Faridzz Tagi (string arrangement), serta Along Exist (mixing).

“Sekali Saja merupakan lagu galau mengenai seorang lelaki yang kehilangan cinta sejati, ia tidaklah khusus kepada pasangan kekasih, sebaliknya boleh menjadi isu kekeluargaan.

“Lagu ini juga menyelitkan unsur kerohanian, tentang hilangnya rahmat dari Allah dan erti penyesalan,” katanya ditemui di sebuah hotel di Melaka, di sini.

Mengulas lanjut Kamal berkata, naskhah itu mengambil masa hampir setahun untuk disempurnakan sebelum dilancarkan di semua platform digital pada 26 Mei lalu.

“Harapan kami agar Sekali Saja ini dapat diterima oleh semua pendengar dan menjadi salah satu lagu galau pilihan,” katanya.

Sebelum ini kumpulan duo itu membuat penampilan sulung menerusi lagu ‘Cinta Semalam’ pada Januari tahun lalu dan diikuti album kedua, ‘Jauh’.

Kamal memberitahu, dia dan Zul sebelum ini merupakan artis solo dengan masing-masing pernah menghasilkan dua buah lagu iaitu ‘Saat Aku’ dan ‘Iya’, hasil kerjasama Zul bersama Mimi Fly pada tahun lalu dan ‘Selagi Nafas’ serta ‘Terbuai Perasaan’ nyanyiannya, yang merupakan soundtrack bagi drama Pengantin 100 hari di TV3 pada 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN