LONDON – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mahu barisan pemain menjadikan kekalahan 1-2 kepada Manchester City pada aksi final Piala FA sebagai motivasi untuk tampil lebih cemerlang bagi mengharungi kempen musim depan.
Pada perlawanan di Stadium Wembley itu, skuad The Red Devils gagal menghalang seteru tradisi kendalian Pep Guardiola untuk meraih gelaran berganda musim ini selepas turut menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lepas.
Kata Ten Hag, masih jauh lagi perjalanan untuk pasukan mengecapi kejayaan seperti yang dipamerkan oleh The Citizens musim ini tetapi potensi yang ada pada barisan pemain sangat cerah.
“Kami tidak mempunyai masalah untuk menghormati pasukan lawan dan sememangnya mereka layak untuk berada pada tahap sekarang.
Namun, saya harap kekalahan ini dapat menaikkan motivasi pemain bagi mengharungi saingan musim depan.
“Ini adalah tahun pertama saya bersama pasukan dan tidak keterlaluan jika kita dapat mengharungi tahun kedua dengan kejayaan yang lebih cemerlang nanti,” kata pengendali import dari Belanda itu.
Dalam perkembangan sama, Ten Hag enggan menyalahkan penjaga gol, David de Gea yang dilihat gagal membaca rembatan Gundogan dengan baik selepas pemain antarabangsa Jerman itu menjaringkan dua gol dari luar kotak penalti.
“Tidak wajar untuk saya salahkan De Gea dan kita perlu lihat secara keseluruhan kerana dia telah bermain dengan baik sepanjang musim ini.
“Secara jujur, kita berjaya memberikan tentangan sengit kepada City dan pasukan hanya tewas tipis sahaja. Saya tetap berbangga dengan prestasi semua pemain sepanjang perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, kapten United, Bruno Fernandes percaya pasukan akan tampil lebih cemerlang pada musim depan selepas berjaya mengharungi musim ini dengan sasaran yang ditetapkan.
“Kalau boleh kami mahu menjulang satu lagi trofi musim ini tetapi tidak kesampaian. Ini bukanlah tahun yang gemilang tetapi saya percaya kita akan lebih sukses pada musim baharu nanti,” katanya. – AGENSI