ALOR GAJAH – Dua penumpang bas persiaran dan seorang pemandu lori ais cedera selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian bas persiaran tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura.
Katanya, nahas berlaku apabila bas yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu gagal mengelak lori ais terbabit yang keluar dari laluan kecemasan untuk ke lorong paling kiri.
“Bas persiaran telah terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori dan menyebabkan lori ais terbabit terbalik ke longkang di tepi lebuh raya dengan muatan ais.
“Mangsa pemandu lori dan dua penumpang bas telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Melaka dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, pemandu bas tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Fadil Saidin berkata, terdapat seramai 17 penumpang dalam bas berkenaan ketika nahas berlaku.
Katanya, impak perlanggaran telah menyebabkan berlaku tumpahan minyak di permukaan jalan raya dan operasi pembersihan dilakukan bagi mengelakkan risiko keberbahayaan kepada pengguna lebuh raya yang lain.
“Semua mangsa bas persiaran telah dikeluarkan sebelum bomba tiba di lokasi. Terdapat tumpahan minyak di permukaan jalan raya, bomba membuat pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE