fbpx

STL: ATM Guardians ‘belasah’ Penang Black Panthers depan penyokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penang Black Panthers terpaksa akur dengan kekalahan pertama menentang ATM Guardians pada saingan minggu kedua di Spice Arena, Pulau Pinang malam tadi. - IHSAN FACEBOOK STL

GEORGE TOWN – Penang Black Panthers gagal mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan minggu kedua kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 selepas tunduk straight-set, 23-25 dan 10-21 kepada juara bertahan, ATM Guardians di Spice Arena malam tadi.

Meletakkan trio, Lemon sebagai tekong, Zaim Razali dan Azlan Alias masing-masing sebagai apit kiri dan kanan, skuad Harimau Kumbang itu bagaimanapun bermula garang pada set pertama apabila berjaya mengheret perlawanan hingga ke mata penentuan beberapa kali sebelum akur dengan kekalahan tipis 23-25.

Kemasukan Zarif Merican menggantikan pemain import Thailand itu sebagai tekong pada mulanya dilihat mampu memberikan saingan kepada ATM Guardians yang dibarisi Hairul Hazizi (tekong), Norfaizzul Razak (apit kiri) dan Afifuddin Razali sebagai apit kanan.

Bagaimanapun, aksi kurang bertenaga yang dipamerkan Penang Black Panthers pada set kedua menyukarkan mereka untuk bangkit selepas ketinggalan mata agak jauh sekali gus terpaksa ‘berputih mata’ dengan kekalahan pertama di hadapan penyokong sendiri.

Penolong jurulatih Penang Black Panthers, Ahmad Sufian Napiah ketika ditemubual sejurus perlawanan tamat berkata, corak permainan ATM Guardians yang agak laju khususnya pada set kedua gagal disaingi dengan baik oleh anak-anak buahnya.

“Kita ketinggalan tujuh mata pertama pada set kedua. Begitu laju (permainan ATM Guardians). Walaupun kita cuba bangkit dan ‘drag’ masa (melengahkan permainan) tapi kita tetap gagal untuk mengekang kemaraan mereka,” katanya yang memberitahu, kecemerlangan Hazizi antara faktor yang menyebabkan Penang Black Panthers kecundang malam tadi.

Sementara itu, Zaim yang bertindak sebagai kapten untuk Penang Black Panthers turut memohon maaf kepada penonton tuan rumah kerana gagal meneruskan rentak kemenangan selepas mengharungi perlawanan keempat di laman sendiri.

Ketika ini, ATM Guardians gah mendahului saingan STL Emas Anuar 2023 apabila mengumpul lapan mata daripada lima perlawanan dengan diekori rapat oleh satu-satunya pasukan yang belum tewas setakat ini iaitu Kuala Lumpur Thunder yang mengumpul jumlah mata yang sama namun kurang satu perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI