BERBICARA tentang Fizik, ia mungkin salah satu subjek yang sukar bagi para pelajar.
Maka, tidak hairanlah ramai pelajar tidak berminat untuk menguasai subjek tersebut.
Bagi memupuk minat pelajar terhadap subjek Fizik, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Outreach Physics Ke-13 baru-baru ini.
Program yang bertemakan ‘Physics for Girl’ itu telah disertai oleh 88 orang pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani (SMSTAR), Seremban, Negeri Sembilan.
Ketua program yang juga pensyarah Jabatan Fizik UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, rata-rata pelajar sekolah mempunyai tanggapan bahawa subjek Fizik adalah sesuatu yang sukar dan membosankan.
Menurutnya, ramai pelajar kini hanya menghafal formula dan definisi tanpa memahami konsep Fizik itu sendiri.
“Ini akan menyebabkan pelajar tertekan apabila menghadapi peperiksaan.
“Pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Putra Outreach Physics ini diharapkan dapat menyemai minat pelajar terhadap subjek Fizik,” katanya.
Tambahnya, tugas berat itu telah dilaksanakan oleh mereka bagi memupuk minat subjek Fizik dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah tersebut.
Dalam pada itu, ketua fasilitator program tersebut, Ahmad Danish Iskandar berkata, pihaknya memberi pendedahan yang sangat baik dalam mengasah kemahiran insaniah para pelajar.
“Program ini memberi pengalaman kepada saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan program sebegini serta mempelajari pelbagai ilmu seperti berkomunikasi dengan cara betul di depan khalayak ramai.
“Seramai 31 orang fasilitator dari Jabatan Fizik UPM telah terlibat dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan sepanjang dua hari kem ini dijalankan,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakkan aktiviti secara fizikal itu dapat membantu pelajar sekolah memahami konsep-konsep Fizik secara interaktif.
Antara slot yang diadakan adalah Pelakuran Nukleus, Aerofizik, Physicstorm, Accelerace, The Magical Night of Physics dan Detective Physics.
Sementara itu, Ketua Panitia Fizik SMSTAR, Zaihasra Azwa Zaharim menyifatkan program tersebut sebagai sangat kreatif dan inovatif.
“Pelbagai ilmu dan input baharu telah dikongsi kepada pelajar melalui cara pembelajaran yang sangat menyeronokkan.
“Saya lihat pelajar kami sangat seronok menyertai aktiviti seperti ini,” katanya.
Salah seorang pelajar SMSTAR, Nik Nur Aisya berkata, program berkenaan telah memberi inspirasi kepadanya supaya tidak berputus asa dan sentiasa yakin untuk skor dalam subjek Fizik.
“Pada mulanya, saya sudah berputus asa dengan subjek Fizik.
“Setelah saya sertai program ini dengan aktiviti yang sangat seronok dan galakan daripada fasilitator UPM, saya menjadi lebih yakin.
“Kini, saya percaya bahawa subjek Fizik ini mudah dan seronok untuk dipelajari,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia dan rakan-rakannya yakin mampu skor A+ bagi subjek Fizik selepas menyertai program tersebut.