fbpx

RIM, KPDN bergabung bantu industri hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAHUDDIN bersama Rosmin Hashim bercakap kepada media selepas program amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik, baru-baru ini. NGAMAL industri hiburan boleh melayari laman sesawang RIM untuk memohon sumbangan Rahmah. – AMIR KHALID

CAKNA dengan isu kebajikan pemuzik tanah air, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sebelum ini melancarkan program Dana Kecemasan bagi menyediakan bantuan kewangan segera kepada pengamal industri muzik berdepan dengan masalah kewangan akibat wabak Covid-19.

Inisiatif tersebut dilihat sebagai satu program cemerlang apabila berjaya membantu pengamal industri muzik seperti Man Kidal (Lefthanded), Kid (Search), Mel (Wings), Zydee (One Nation Emcees), Roslan Aziz, Ross Ariffin dan ramai lagi.

Sehubungan itu, usaha tersebut diteruskan RIM kali ini dengan melancarkan program amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik. Program tersebut dilancarkan pada Mei lalu di ibu kota dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Tujuan program diadakan bagi membantu pengamal industri muzik terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu sehinggalah pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang menghadapi kesusahan akibat pelbagai faktor.

Pemilihan teliti

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, pemilihan pengamal industri muzik pada hari pelancaran dilakukan secara teliti oleh pihak lembaga pengarah badan terbabit.

Selepas ini, pengamal industri muzik lain juga boleh memohon sumbangan melalui platform yang disediakan.

“Seramai 10 orang penerima pertama pada hari ini dipilih oleh jawatankuasa yang terdiri daripada lembaga pengarah RIM.

“Kebanyakan artis yang menerima sumbangan hari ini dipilih dari segi masalah kesihatan dan ada juga mengalami kesempitan hidup.

“Namun, selepas ini kepada mereka yang memerlukan bantuan boleh memohon menerusi halaman khusus dalam laman web RIM,” katanya.

Pada majlis tersebut, sumbangan RM2,000 diberikan kepada 10 penerima pertama iaitu Ibnor Riza, Zaiton Sameon, Rahim Maarof, Ali XPDC dan Sazali P.Ramlee.

Selain itu, Datuk Ooi Eow Jin, Ben Nathan, Huang Jun Tian, Zaleha Hamid dan Shima yang masing-masing mengalami masalah kesihatan dan kesempitan hidup turut menerima sumbangan sama.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, isu kebajikan golongan artis perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa.

“Masih tidak kesampaian walaupun ada usaha dilakukan sebelum ini.

“Jadi, saya sebagai menteri bertanggungjawab melakukan libat urus pada Januari lalu dan banyak membuka mata saya sendiri berkenaan isu royalti dan hak artis.

Selain penyerahan sumbangan, tetamu dihiburkan dengan persembahan artis seperti Ramlah Ram, Datuk Francissca Peter, Zaiton Sameon, Zamani dan Datuk Aishah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI