KUALA PILAH – Sepasang suami isteri di perkampungan Orang Asli Kalang Meranti, di sini, berhampiran sempadan Rembau-Kuala Pilah, kini dalam keadaan bimbang dan takut susulan kejadian anjing dipercayai dibaham harimau kumbang.
Amin Kassim, 52, berkata, kejadian itu sudah berlanjutan sejak tiga minggu lalu sehingga menimbulkan rasa tidak selamat penduduk serta pekebun di kawasan berhampiran Bukit Miku dan Inas itu.
Menurutnya, binatang buas itu sudah mula membaham anjing peliharaan penduduk yang kini hanya tinggal lapan ekor dari 15 ekor yang dipelihara.
“Pada awalnya saya dan isteri, Zauwiyah Jeyah, 52, dikejutkan dengan salakan anjing pada pukul 11 malam dengan memandang ke arah kawasan hutan di seberang jalan. Anjing saya tidak senang duduk selain terbau hamis.
“Saya lihat ekor anjing kami sudah melipat ke bawah. Mengikut petua masyarakat Orang Asli, kalau kedudukan ekor anjing sebegitu ditambah pula dengan bau hamis, itu pentanda kehadiran harimau kumbang.
“Kira-kira pukul 2.50 pagi sekali lagi anjing kami menyalak dan bau sama semakin kuat, sebaik pintu rumah dibuka, isteri saya nampak ekor harimau kumbang itu yang melarikan diri ke hutan seberang jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.
Ujar Amin lagi, selepas diperiksa terdapat tompokan darah, kesan tapak kaki harimau dan dua ekor anjingnya didapati hilang.
Menurutnya, kejadian berkenaan merupakan kemunculan ‘pak hitam’ kali ketiga dengan kejadian pertama dan kedua pada bulan lepas, namun laporan rasmi hanya dibuat pada 20 Mei lepas di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). – KOSMO! ONLINE