PETALING JAYA – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat antara penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sekali gus membawa gelaran Tan Sri.
Kit Siang, 82, yang juga bekas Pengerusi DAP antara 26 penerima Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri selain tiga individu menerima darjah kebesaran itu bagi kategori pertubuhan politik.
Dalam masa sama, Allahyarham Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 12 Februari 2015 pernah memegang jawatan Mursyidul Am Pas semasa hayatnya serta menerima Darjah Kebesaran PSM dengan gelaran Tan Sri bagi kategori perkhidmatan awam.
Darjah Kebesaran PSM itu adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Kit Siang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022.
Beliau mengumumkan bersara pada tahun lalu dalam arena politik selepas berkecimpung selama 56 tahun. – KOSMO! ONLINE