PETALING – “Saya lebih suka orang panggil saya Kit sahaja.”
Demikian reaksi pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang selepas menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.
Kit Siang memuat naik maklum balas ringkas itu menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.
“Terima kasih semua atas ucapan tahniah,” katanya ringkas.
Sementara itu, Facebook beliau dihujani dengan ucapan tahniah daripada orang ramai atas pengurniaan gelaran Tan Sri tersebut.
Terdahulu, Kit Siang dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat antara penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran PSM sekali gus membawa gelaran Tan Sri.
Darjah Kebesaran PSM itu adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini. – KOSMO! ONLINE