fbpx

Kontraktor terkedu, rumah banglo tiba-tiba terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shukri (kiri) bersama isterinya melihat rumah persinggahan mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, Kelatan malam tadi. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/ KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang kontraktor mengalami kerugian kira-kira RM250,000 selepas sebuah rumah banglo yang menjadi persinggahannya semasa pulang ke kampung musnah dalam kebakaran di Kampung Lubok Jambu, Mulong di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, rumah yang tiada penghuni dan kini dijaga oleh dua beradik terbakar keseluruhannya dalam tempoh singkat.

Mohd. Shukri Muhamad, 42, berkata, rumah tersebut menjadi persinggahan buatnya apabila pulang ke kampung selepas seluruh ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur atas tuntutan kerja sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas dihubungi oleh jirannya sebelum bergegas pulang dan tiba di Kampung Lubok Jambu kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Mengikut maklumat yang saya terima, rumah ini tiba-tiba terbakar dan semua pendawaian di rumah ini dibuat dengan teliti sebelum ini. Mungkin ada penyambungan wayar yang tidak sempurna sehingga menyebabkan berlakunya litar pintas,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Penjaga rumah terbabit, Mohd. Khairi Awang, 41, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang penduduk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai makan malam.

“Sebaik tiba di rumah saya terkejut selepas melihat api sedang marak membakar rumah terbabit. Saya dan adik, Mohd.Khaidir, 38, hanya mampu melihat kejadian itu sementara menunggu jentera bomba tiba untuk memadam api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Roslan Omar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.11 malam sebelum tiga jentera bergegas keluar untuk memadam kebakaran.

Katanya, anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadam kebakaran dan berjaya mengelakkan api merebak ke sebuah lagi rumah banglo yang terletak di sebelah rumah terbabit, operasi tamat kira-kira pukul 11.59 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI