BARU-BARU ini, seorang individu memuat naik ciapan dalam laman Twitter mengenai kebimbangan kekurangan tenaga pakar pada masa hadapan.
Kebimbangan tersebut bukan sahaja mengenai kekurangan tenaga pakar dalam negara, malah merangkumi isu golongan muda yang hilang minat dalam pembelajaran.
Impaknya, negara kita akan bergantung kepada tenaga pakar dari negara luar dan sampai bila isu tersebut akan berterusan.
Ciapan tersebut berbunyi: “Tunggulah lagi 10 hingga 15 tahun negara akan kekurangan tenaga pakar kerana ramai generasi baharu pilih untuk tidak sambung belajar.
“Perkara ini nampak macam remeh sekarang, tetapi akibatnya akan jelas kelihatan pada 10 tahun lagi,” luah seorang pengguna Twitter.
Menjengah dalam ruangan komen, ramai yang sependapat dengan kebimbangan tersebut dan melontarkan buah fikiran masing-masing.
Kosmo! pada Rabu lalu turut membincangkan mengenai isu sama iaitu berkenaan pelajar yang hilang minat dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Kerisauan semakin menebalkan apabila hanya 19 daripada 100 pelajar memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mengakibatkan negara bakal hilang pekerja mahir.
Perkara itu juga diulaskan oleh Pakar Pendidikan Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad.
Menurutnya, impak kekurangan minat pelajar dalam bidang STEM akan dilihat menjelang 10 atau 20 tahun akan datang.
“Apabila kurang tenaga pakar dalam negara, Malaysia akan bergantung dengan kemahiran negara luar.
“Jika Malaysia ingin membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) atau pelaburan domestik yang memerlukan tenaga mahir, tetapi gagal menyediakan sumber manusia, pemain industri terpaksa membawa masuk pakar dari negara-negara lain,” kata beliau.
Hal sebegini tidak perlu menunggu 10 atau 20 tahun, isu kerosakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada tahun lalu harus diambil contoh.
Masalah ini memakan masa lama kerana kita menunggu tenaga pakar tiba dari Istanbul, Turkiye dan Toronto, Kanada bagi mencari punca utama kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).
Malah, sehingga kini isu kerosakan LRT sudah menjadi perkara normal bagi kalangan pengguna perkhidmatan awam.
Jadi, masalah kekurangan tenaga pakar di negara kita bagaikan tiada pengakhiran.
Langkah terakhir yang boleh diambil adalah menanam minat kepada anak muda untuk menyukai STEM sejak kecil untuk tidak cepat putus asa dalam mempelajari bidang tersebut.
Selain itu, pihak kerajaan juga harus memantau dan menjaga pelajar-pelajar berpotensi untuk menjadi pakar supaya tidak mencari mata pencarian di negara luar.