fbpx

Ibu tunggal, anak OKU hidup dengan RM300 sebulan sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saadiah bersama anaknya, Norhairil yang merupakan golongan OKU ketika ditemui di Kampung Batu 1, Pedas, di sini kelmarin.

REMBAU – Seorang ibu tunggal warga emas bergantung hidup sepenuhnya dengan wang bantuan anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah fizikal sebanyak RM300 sebulan sahaja.

Saadiah Idris, 62, juga hanya menumpang teduh di rumah peninggalan arwah suaminya yang merupakan perkahwinan kali keduanya 20 tahun lalu atas ihsan anak tirinya.

Menurutnya, selepas arwah suaminya, Md. Darus Hassan meninggal di usia 83 tahun pada pertengahan tahun lalu, dia hanya mengharapkan duit bantuan anaknya, Norhairil Zainal, 41.

“Arwah ada tinggalkan lebih 10 ekor kambing, tetapi ada ternakan yang mati dan ada juga yang saya terpaksa jual sedikit demi sedikit bagi menampung perbelanjaan.

“Kini hanya tinggal seekor kambing dan saya juga berdikit-dikit dengan duit bantuan yang ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 1, Pedas, di sini kelmarin.

Saadiah memberitahu, ada kalanya dia akan membeli makanan keperluan harian di taman koperasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya dengan mengayuh basikal.

Katanya, selain itu ada penduduk, pemimpin setempat serta badan bukan kerajaan (NGO) yang datang menghantar bantuan makanan serta barangan keperluan.

Tambahnya, dia mahu terus menetap di perkampungan itu bersama anaknya itu seperti mana yang telah dipesan oleh arwah suaminya.

“Anak saya ini cacat selepas terbabit kemalangan di Terengganu pada usia enam tahun. Kakinya tidak mampu digerakkan seperti individu normal yang lain, namun pandai menguruskan diri sendiri termasuk ke tandas,” ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Ketika ini terdapat pihak yang sedang membuat permohonan bantuan di bawah Baitulmal buat Saadiah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Saadiah di talian 019-2402375.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI