KUALA SELANGOR – Seorang warga emas tidak menyangka anak tunggalnya yang ditatang dengan penuh kasih sayang sebelum ini sanggup ‘membuangnya’ ke rumah jagaan orang tua.
Segalanya bermula apabila wanita dikenali Kak Mai, 64, menerima rawatan di sebuah hospital selama dua minggu tahun lalu akibat komplikasi kesihatan.
Kak Mai yang juga pesara kerajaan kecewa apabila anak tunggal perempuan berusia lingkungan 40-an tidak mahu mengurus dan menjaganya yang sedang uzur.
“Hati mana tidak berkecai kerana dia sahaja anak yang saya ada selepas suami meninggal dunia pada tahun 2014.
“Rentetan itu, saya mengambil keputusan untuk menghabiskan hidup di rumah orang tua sejak setahun lalu,” katanya.
Menurutnya, semuanya berlaku disebabkan perselisihan faham dan masalah dalaman antaranya dan keluarga menantunya.
Namun, dia tetap berdoa supaya dapat bertemu semula dengan anak, cucu serta menantunya sebelum dijemput Ilahi.
“Saya tahu mereka sayangkan saya. Saya berdoa agar kami berbaik semula,” katanya.
Sementara itu, lelaki dikenali Abu Samah, 54, memberitahu, dia terpaksa tinggal di pusat jagaan tersebut kerana enggan menyusahkan ahli keluarganya selepas terlibat kemalangan.
“Saya sakit kencing manis sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri. Silap sendiri sibuk bekerja sehingga tidak berumah tangga. Lagi pun di sini ramai kawan. Ini atas pilihan saya sendiri,” ujarnya.