fbpx

Guru, tujuh peserta silat cedera MPV rempuh lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN MPV dinaiki mangsa selepas terlibat dalam nahas di KM221 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang guru dan tujuh peserta pertandingan silat cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 221 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu, kesemua mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun dan guru 36 tahun dikejarkan ke Hospital Alor Gajah selepas mengalami kecederaan di pelbagai anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika kesemua mangsa yang dari kelab Silat Olahraga Ledang Tangkak dalam perjalanan pulang ke Johor selepas menyertai pertandingan silat di Ara Damansara, Kuala Lumpur.

Katanya, setiba di lokasi MPV jenis Proton Exora dipandu guru tersebut telah melanggar bahagian belakang sebuah lori.

“Ketika kejadian MPV tersebut berada di lorong paling kiri dan telah melanggar belakang sebuah lori yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan kerana kenderaan itu tidak berhenti, sebaliknya meneruskan perjalanan.

“Ketika kejadian semua penumpang sedang tidur dan telah dibawa ke hospital oleh ambulans serta kenderaan awam yang membantu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua yang terlibat bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Hijau hospital berkenaan.

“Siasatan dilakukan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan faktor gagal mengawal kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI