PERENANG para negara, Fraidden Dawan berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen negara pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja 2023 di Phnom Penh semalam.
Fraidden, 36, membuktikan kualitinya dengan mencatat masa empat minit 52.60 saat (s) untuk menguasai acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki S10 pada saingan di Pusat Akuatik Morodok Techo itu.
Ia sekali gus membolehkan perenang dari Bintulu, Sarawak itu mempertahankan kilauan emasnya yang dimenangi sewaktu edisi APG 2022 di Solo, Indonesia.
“Pingat ini besar maknanya buat saya dan negara. Saya mendedikasikan kejayaan ini buat keluarga yang banyak memberi sokongan dan menjadi pemangkin semangat serta mendorong saya selama ini.
“Mereka banyak memberikan motivasi dan hasilnya saya berjaya mempertahankan kejuaraan ini buat negara,” katanya.
Fraidden berjaya menewaskan pemenang pingat perak dari Indonesia, Tangkilisan Steven Sualang yang merakam masa 5:12.82s dan perenang Vietnam, Van Vinh Quach di tempat ketiga dengan catatan 5:23.30s.
Kem renang para terus membutirkan emas demi emas melalui kejayaan Adib Iqbal Abdullah (100m kuak dada lelaki SB14), Abd. Halim Mohamad (100m kuak dada lelaki SB8, 100m gaya bebas lelaki S8) dan Carmen Lim dalam acara 100m kuak dada wanita SB8.
Turut cemerlang ialah perenang, Rusdianto Rusmani apabila berjaya meraih pingat perak 400m gaya bebas lelaki S8 selain atlet olahraga para, Noor Imanina Idris yang meraih tempat kedua acara lontar peluru F20.