JAKARTA – Seorang wanita yang menyangka suaminya hilang semasa tengah malam terkejut melihat lelaki itu sebenarnya sedang menjemur pakaian di luar rumah, lapor laman berita Merdeka semalam.
Berdasarkan video dikongsikan di laman Instagram, wanita yang menggunakan akaun @momandkiddy itu berkata, dia terjaga daripada tidur ketika jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.
Dia terkejut mendapati suami tidak berada di dalam bilik, sebaliknya hanya anaknya kelihatan tidur nyenyak.
“Hampir pukul 12 tengah malam. Saya dan Athallah (anak) sudah tidur. Tiba-tiba saya tersedar dan mencari suami,” tulis wanita itu dalam video tersebut.
Dia membuka tingkap rumah dan mendapati suaminya baru selesai mencuci pakaian serta menjemurnya pada ampaian di hadapan rumah mereka.
Wanita itu meluahkan rasa syukur kerana memiliki suami yang rajin membantu melakukan kerja rumah.
“Ternyata, suami tidak tidur, malah baru selesai mencuci pakaian. Suami saya memang terbaik, saya amat mensyukurinya,” tulis keterangan video itu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Suami saya juga begitu tetapi bukan pada waktu malam. Dia membantu mencuci pakaian selepas waktu subuh,” kata seorang pengguna media sosial.
“Kalau suami saya melihat bakul pakaian dipenuhi baju kotor, dia akan mengangkat dan meletakkannya di hadapan mesin basuh,” ujar netizen lain. – AGENSI