KOTA BHARU – Seekor biawak seberat 10 kilogram (kg) ditangkap di belakang mesin basuh selepas menyelinap masuk ke sebuah rumah di Kampung Binjai Limbat di sini semalam.
Kejadian itu disedari oleh seorang penghuni rumah tersebut yang berusia 23 tahun ketika berada di dapur kira-kira pukul 2.25 petang.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu berkata, bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya, wanita terbabit terus menghubungi talian kecemasan tiga minit kemudian.
“Semasa anggota APM tiba di lokasi kejadian, biawak sepanjang satu meter dengan berat 10 kg itu berada di belakang sebuah mesin basuh.
“Empat anggota APM mengambil masa kurang dari dua minit untuk menangkap reptilia itu menggunakan alat khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, biawak tersebut dibawa ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE