KUALA LUMPUR – Penyanyi Andmesh Kamaleng tidak dapat menahan sebak ketika mendendangkan dua buah lagu yang didedikasikan kepada mendiang ibu bapanya pada konsert Andmesh Kamaleng Live In Kuala Lumpur (KL)di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, malam tadi.
Momen galau tersebut bermula apabila Andmesh, 25, menyanyikan lagu Luka yang didedikasi kepada mendiang ayahnya, Yes Kamaleng.
Tidak terhenti di situ, rasa sedih tersebut berlarutan ketika menyampaikan lagu Hanya Rindu yang ditujukan khas buat mendiang ibunya, Bernadeta Laure sebelum dua adik perempuannya naik ke pentas dan memeluknya sepanjang persembahan.
Perkara itu membuatkan dewan diselubungi rasa syahdu dan penonton yang hadir turut mengalirkan air mata.
“Mereka berdua adalah sisa harta yang berharga saya miliki dan alasan masih tersenyum bahagia sehingga hari ini.
“Tidak kiralah ibu bapa saya ada atau tidak, pastinya mereka bangga melihat saya dari ‘sana’ yang sedang berdiri membuat persembahan di sini,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, dia yang popular dengan lagu Cinta Luar Biasa itu menyifatkan rakyat negara ini sebagai individu yang jujur dan tulus.
“Sejujurnya saya berasa sangat senang dapat bertemu dengan orang Malaysia kerana mereka jujur dan tulus, harapnya dapat kembali lagi ke sini.
“Sepanjang menyanyi di Malaysia, saya rasa setiap lagu diberikan apresiasi, terima kasih,” ujarnya.
Pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu, dia menghiburkan lebih 2,000 penonton dengan 16 buah lagu seperti Nyaman, Hanya Rindu dan Luka.
Antara artis yang hadir ke Andmesh Kamaleng Live In KL dibawakan khas oleh Kharisma Music Talent ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan dan Bella Astillah. – KOSMO! ONLINE