KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita remaja negara membuka kempen Piala Remaja Asia 2023 dengan langkah kanan apabila membelasah Taiwan 7-0 pada aksi Kumpulan A di Kakamigahara, Jepun hari ini.
Barisan pemain ternyata berada pada semangat dan motivasi terbaik walaupun aksi di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries itu sepatutnya berlangsung dua hari lalu tetapi terpaksa ditunda disebabkan hujan lebat ketika itu.
Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Lailin Abu Hassan berharap anak-anak buahnya kekal fokus dan tidak terbuai dengan kemenangan itu kerana bakal berdepan dua perlawanan seterusnya dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Skuad Young Tigress akan berdepan pilihan kejohanan yang meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja Wanita 2022, India untuk aksi kedua esok sebelum bertemu Uzbekistan pada Selasa ini.
“Kita tahu akan bermain berturut-turut selama tiga hari. Disebabkan itu, saya merehatkan beberapa pemain utama selepas kita mendahului beberapa gol hari ini.
“Kita nak mereka bersedia sepenuhnya untuk aksi menentang India esok. Kita akan analisis perlawanan India semalam dan saya harap pemain-pemain lebih fokus dan tajam bertemu India,” katanya.
Nur Nabila Alia Yussaini dan Siti Nur Atika Shaikh Maznan masing-masing berjaya meledak dua gol buat skuad negara dalam aksi itu.
Baki tiga lagi gol berjaya dijaringkan oleh Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha, Nurul Fatin Fatiah Azman dan J. Thibatharshini.
Bintang skuad senior kebangsaan, Kirandeep Kaur Gurdip Singh membuktikan pengalamannya apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.
Biarpun merakam tujuh gol tetapi Lailin masih belum gembira dengan peratusan jaringan menerusi pukulan sudut penalti apabila menyempurnakan empat daripada keseluruhan lapan dirah sepanjang 60 minit permainan.
“Pemain nampak gugup untuk mendapatkan gol tetapi selepas keyakinan mereka meningkat selepas rehat separuh masa pertama. Persefahaman ditunjukkan juga meningkat dalam setiap suku masa.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan keputusan 7-0, cumanya masih perlu ditingkatkan daripada segi aspek ketajaman pukulan sudut penalti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE