fbpx

Umar tekad perbaiki rekod di World University Games, China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGERUSI Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik (tengah) mengalungkan pingat emas acara 400m Sukan SEA kepada Umar di Menara MBIP, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pemegang rekod baharu 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman berhasrat untuk memperbaiki rekod masanya pada World University Games di China pada bulan Ogos ini.

Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor itu berkata, dia yakin sasaran itu mampu digapai sekali gus melayakkan diri secara merit kategori A pada ke Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.

“Sebelum bertanding di World University Games, saya akan mengambil bahagian pada pertandingan Asia Track & Field di Bangkok pada bulan depan. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pertandingan ini.

“Bagi World University Games pula, jurulatih meletakkan sasaran untuk saya ‘peak’ dengan melakukan ‘personal best’. Saya berharap dapat mencipta rekod baharu sekali melayakkan diri secara merit ke Sukan Asia,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan penghargaan kepada pelari muda pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 di Menara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Pelari berusia 20 tahun itu mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa menakjubkan 46.34 saat (s) ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, bulan lalu.

Dalam pada itu, Umar yakin di bawah bimbingan jurulatih Simon Lau Ching Meng mampu mencungkil potensinya untuk beraksi lebih baik bagi acaranya itu sekali gus melepasi catatan masa 46.17s untuk layak secara merit ke Sukan Asia.

Anak kelahiran Johor itu yakin latihan intensif yang akan dijalankan di Singapura sehingga 26 Ogos mampu meningkatkan keupayaannya untuk terus mengharumkan nama negara.

“Saya sangat terkejut apabila meraih emas malah turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan, sangat gembira dan mahu terus melakar sejarah dalam acara ini.

“Memandangkan ketika ini adalah cuti semester, maka saya dapat memberi tumpuan penuh untuk menjalani latihan menjadi pelari yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI