KUALA LUMPUR – Beregu lelaki meningkat naik negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun enggan dibuai dengan kejayaan semasa dan bertekad terus menghasilkan keputusan positif pada Terbuka Singapura bermula Selasa ini.
Wei Chong-Kai Wun naik empat anak tangga ke kedudukan terbaharu No.22 dunia selepas berjaya muncul naib juara Malaysia Masters di Axiata Arena minggu lalu.
Kejayaan tersebut tentunya membakar semangat beregu lelaki ketiga negara itu dalam misi mereka memburu kelompok 10 terbaik dunia dengan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kalau lihat ketika ini, kami memang ada standard dan tengok ia tidak jauh. Malah ketika menentang pemain yang berada di ranking 10 terbaik juga kami boleh menang.
“Apa yang penting kami tidak boleh terlalu sombong dan perlu jaga kondisi kami setiap kali turun beraksi,” kata Kai Wun.
Kedua-dua pemain negara berusia 23 tahun itu mencuri tumpuan ramai selepas menang straight-set ke atas bekas juara dunia yang juga legenda Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan di suku akhir dengan keputusan 23-21, 21-17.
Mereka kemudiannya menumbangkan satu lagi beregu Indonesia yang merupakan pilihan kelapan kejohanan, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-17, 22-20.
Bagaimanapun, impian untuk menjulang kejuaraan Malaysia Masters tidak kesampaian apabila tewas kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pentas final dengan kekalahan sengit 15-21, 24-22, 19-21.
Kali ini, Wei Chong-Kai Wun akan membuka kempen Terbuka Singapura menentang Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman di pusingan pertama dengan peluang terbuka buat kedua-dua beregu yang tidak pernah bertemu sesama sendiri. – KOSMO! ONLINE