fbpx

Tempahan feri semakin lesu selepas LIMA’23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail orang ramai memasuki Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri sempena LIMA’23 di Terminal Feri Kuah, Langkawi baru-baru ini. – SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Jadual feri Langkawi dari Kuala Perlis, Perlis dan Kuala Kedah terpaksa dikembalikan kepada lima perjalanan bermula hari ini ekoran tempahan yang semakin lesu selepas Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsor­tium Ferry Line Venture Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom, perjalanan itu bagaimanapun akan ditambah jika terdapat permintaan daripada orang ramai.

“Kita akan kembali jadual asal kepada 10 trip perjalanan iaitu lima dari Kuala Perlis dan lima dari Kuala Kedah. Cuti sekolah pun akan berakhir jadi tempahan tiket mula berkurangan.

“Tidak menyusut teruk, te­tapi tak boleh dibandingkan se­waktu LIMA’23. Kita buat sehingga lapan trip terutama pada acara puncak kerana permintaan tinggi, sekarang kembali kepada biasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, dianggarkan 21,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu setiap hari pada tiga hari terakhir LIMA’23.

Jelasnya, ia merupakan se­suatu di luar jangkaan sehingga pihaknya terpaksa menambah bilangan trip.

“Seramai 21,000 pengunjung keluar masuk Langkawi pada tiga hari terakhir LIMA’23 baru-baru ini. Mungkin cuaca baik dan faktor penarik termasuk juruterbang Korea Selatan yang tular dalam media sosial,” katanya.

Tambahnya, sukar bagi pihak pengusaha feri untuk mengembalikan jadual seperti biasa iaitu sebelum pandemik Covid-19.

“Dahulu banyak trip, sekarang banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk kenaikan harga diesel yang menambah kos operasi feri masing-masing.

“Banyak pengusaha feri baru hendak bangkit pada fasa pemulihan. Walau bagaimanapun, kita fleksibel dalam menentukan waktu perjalanan untuk kemudahan pengunjung. Sekarang ini perjalanan kita laksanakan dari pukul 7 pagi hingga 7 malam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI