SEBUT sahaja kehidupan kampus atau kolej, pasti kita akan terbayangkan betapa sukarnya para pelajar untuk mengharungi alam tersebut sehinggalah tamat pengajian.
Manakan tidak, ramai juga mahasiswa dan mahasiswi adalah mereka yang datang daripada keluarga sederhana dan susah.
Jadi, tidak hairanlah rata-rata pelajar terpaksa ikat perut terutama ketika berada di hujung-hujung semester sebelum peperiksaan akhir bermula.
Perkara tersebut turut tidak terlepas dirasai sendiri Izz (bukan nama sebenar) ketika sedang menuntut di salah sebuah universiti awam terletak di utara tanah air.
Izz yang berasal dari Putatan, Sabah merupakan anak sulung dalam keluarga dan merupakan harapan kedua-dua ibu bapanya untuk merubah nasib keluarga.
Menurut Izz, dia bersyukur kerana mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepanjang berada di kampus.
Pun begitu, sama nasib dengan semua pelajar lain, wang tersebut bukanlah cukup mana lebih-lebih lagi buat mereka yang tinggal jauh daripada keluarga.
“Sepanjang tiga tahun menuntut di universiti, saya cuma balik ke Sabah dua kali. Selebihnya memang saya di Semenanjung, kadang-kadang tinggal di rumah sepupu di Johor sementara menunggu semester baharu tiba.
“Jadi ada masa dan peluang saya membantu sepupu berniaga di pasar malam sekitar Johor Bahru bagi menambah pendapatan sampingan.
“Bagi saya, disediakan tempat tinggal dan makan minum pun sudah cukup beruntung. Jadi bab gaji, saya pada awalnya tidak kisah berapa yang dapat,” katanya.
Namun, dek kesempitan semakin mencengkam dan sering mengikat perut terutama ketika hujung semester, Izz kemudian mengambil upah bekerja di salah sebuah kafe di kampus secara separuh masa.
Kata Izz, dia mendapat tahu mengenai kekosongan jawatan sebagai pembantu kafe dan terus memintanya tanpa berlengah.
“Jadi, dari situ saya kenal dengan pemilik kafe tersebut yang dikenali pelajar dengan nama Abang Li (bukan nama sebenar)
“Apa yang saya tahu Abang Li merupakan duda dua anak berumur lewat 40-an dan perwatakannya yang ramah dengan semua orang membuatkan dia disenangi ramai,” katanya.
Cerita Izz yang tidak kurang kacak dan berkulit putih, dia diterima bekerja oleh Abang Li. Abang Li membenarkan Izz memulakan kerja secepat mungkin mengikut kesesuaian waktu dan kelasnya.
Beritahu Izz, dia mengambil keputusan untuk bekerja pada waktu malam sahaja kerana tiada kelas pada waktu itu.
“Kafe biasanya tutup pada pukul 12 tengah malam. Jadi saya akan mula bekerja pada pukul 8 malam sampailah tutup.
“Hampir sebulan kerja, banyak perkara yang saya pelajari dan Abang Li sudah saya anggap seperti ayah sendiri.
“Kebiasaannya, kadangkala jika hujung minggu dan tiada kelas pada keesokan harinya, Abang Li akan mengajak saya dan beberapa pekerja lelakinya yang lain untuk ke rumahnya usai kafe ditutup,” ujarnya.
Dipendekkan cerita, Abang Li sering memuji cara kerja Izz yang sangat baik dan tidak perlu diajar selain pandai berdikari serta ringan tulang.
Jelas Abang Li lagi, dia berjanji mahu menaikkan kadar upah Izz jika dia terus berusaha dan rajin membantunya demi perniagaan yang dibangunkan.
Kata Izz lagi, Abang Li juga nampak suka dengannya sejak dari hari pertama bekerja dan semakin lama menganggap dia seperti anak kandungnya sendiri.
“Beberapa minggu berlalu, apa yang dijanjikan Abang Li ditunaikan. Upah saya dinaikkan sekali ganda dan saya juga diberi kebebasan untuk memilih waktu kerja.
“Abang Li juga berjanji dia akan membantu saya apa sahaja dari segi kewangan termasuk membelikan tiket pesawat pulang ke Sabah tiap kali cuti semester dan perbelanjaan lain.
“Memang benar apa yang dikata, Abang Li tunaikan semuanya. Saya dapat rasakan dia begitu ikhlas dan berniat mahu membantu.
“Jadi apa yang diberikan selama ini saya rasakan seperti budi yang tidak dapat dibalas. Saya juga tiada masalah kewangan ketika bersamanya dan tidak lagi perlu ikat perut seperti sebelumnya,” kata Izz.
Klimaks kepada pengakuan yang dibuat Izz, kebaikan Abang Li itu tidak ubah seperti panas disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ada muslihat di sebalik kebaikannya.
Akui Izz, Abang Li yang dianggap seperti keluarganya sendiri itu sudah lama menunggu waktu yang sesuai untuk memberitahunya perkara sebenar.
“Dia (Abang Li) beritahu saya, dia boleh teruskan bantu dan ‘bela’ saya, tetapi saya harus memberikannya sesuatu untuk itu.
“Langsung saya tidak pernah sangka yang Abang Li sebenarnya bernafsu dengan saya dan sudah lama mahu menjalinkan hubungan terkutuk itu bersama saya.
“Ibarat judul lagu, Kerana Budi Aku Jatuh Hati, begitu jugalah apa yang saya lalui. Saya tiada jalan lain dan nekad tidak mahu lagi hidup susah di kampus.
“Jadi, saya turutkan sahaja kemahuan Abang Li walau tidak rela. Hampir dua tahun bersamanya, ada kalanya saya rasa jijik dan rasa sangat berdosa, tapi saya ikutkan demi kehendak dan desakan
hidup,” akuinya yang sudah tidak lagi berhubung dengan majikan dan ‘kekasih separuh masanya’ itu usai tamat pengajian beberapa tahun lalu.