fbpx

Pesara guru seronok sambut raya di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOFF (dua dari kanan) dan Saedah (dua dari kiri) bergambar bersama tiga anak perempuan mereka yang menjadi pengiring ketika ditemui di Abraj Al-Janadriyah, Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Seorang pesara guru bahasa Melayu dan Matematik menjadikan Tanah Suci sebagai tempat dia menyambut Aidilfitri apabila menunaikan umrah saban tahun bersama ahli keluar­ganya pada hujung Ramadan hingga awal Syawal.

Yusoff Mohamad @Abdul Samad, 89, dari Pulai Chondong, Machang, Kelantan berkata, namun dia lebih teruja apabila di­pilih menunaikan haji tahun ini selepas begitu lama menunggu giliran untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Kata pesara guru Sekolah Rendah Hamzah, Machang itu, dia te­lah membuat simpanan haji dalam tempoh yang panjang dan bagaikan tidak percaya apabila terpanggil tahun ini.

“Saya dan isteri, Saedah Shamsudin, 87, mendapat tahu terpilih selepas membaca khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh Tabung Haji kepada telefon salah seorang anak kami.

“Ketika itu saya rasa sangat seronok dan mula pergi kursus haji selain membuat persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci dua ming­gu lalu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ujarnya, TH membenarkannya membawa pe­ngiring dan dia memilih tiga anak perem­puan berusia 43 dan 60 tahun untuk menemani mereka.

Tambahnya, walaupun sudah berusia tetapi pengalaman menunaikan umrah setiap tahun membuatkannya nekad untuk berangkat kerana terlalu merindukan Mekah dan Madinah.

“Saya ke Mekah pada hujung Ramadan hingga awal Syawal bagi meraikan Aidilfitri sejak beberapa tahun lalu bersama anak-anak. Selepas itu, baru pulang ke kampung sambut raya bersama ahli keluarga,” katanya.

Dia yang mempunyai 25 cucu dan enam cicit juga tiada rahsia masih bertenaga dan sihat tetapi hanya amal meminum air suam.

“Sesekali teguk juga air manis jika melayan tetamu yang bertandang ke rumah selain jika diajak ke kedai. Pertama kali saya datang ke sini ialah pada tahun 1981.

“Ketika itu saya dapat merasa suasana lama di sekitar Masjidilharam di mana boleh mandi di telaga zamzam dan melihat rumah kecil yang dikatakan kediaman Nabi SAW berwarna hijau.

“Pesanan saya kepada mereka yang mendapat panggilan supaya jangan tolak, berusaha cari wang kerana kita tak tahu sama ada sempat atau tidak ke sini bagi tunaikan haji,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI