PETALING JAYA – Seorang pelajar perempuan trauma apabila mendakwa menerima gangguan seksual daripada seorang pensyarahnya di sebuah universiti baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan semula di akaun Twitter Bxngpy, apabila pelajar tidak dikenali itu meminta bantuannya untuk mendapatkan pandangan umum.
Menurut pelajar tebabit, dia trauma apabila diganggu pensyarah wanita yang juga seorang lesbian.
“Saya berusia 25 tahun dan merupakan pelajar instituti pengajian tinggi. Pensyarah saya baru ini mengaku dia suka dekat saya dan hendak jadikan saya sebagai rakan lesbiannya.
“Dua minggu lepas saya dipanggil masuk ke biliknya. Masuk sahaja, dia terus tolak dan mencium bibir saya. Jujur saya terkejut, terus saya tolak dan marah kenapa dia buat begitu.
“Dia ugut jika saya mengadu kepada pihak atasan, dia akan letak markah yang rendah untuk ‘carrymark’ dan gugurkan saya daripada ambil peperiksaan,” dakwa pelajar itu.
Menurutnya, dia risau jika rakan sekelasnya mengetahui perkara itu tidak akan mempercayainya kerana pensyarah tersebut kelihatan sangat baik, malah sudah berkahwin.
“Saya buntu sekarang ini hendak cerita kepada rakan sekelas, risau mereka fikir saya sengaja membuat cerita sebab pensyarah itu perwatakannya macam pijak semut tidak mati.
“Dia sudah berkahwin dan ada anak. Kenapa saya yang dia pilih? takkan sebab perwatakan saya yang agak ‘boyish’ dia suka? Saya juga bukan sejenis songsang, malah saya ada teman lelaki,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mencadangkan membuat aduan pada pihak atasan.
“Cuba kumpul bukti, masa dia ajak jumpa, cuba letak ‘hidden camera’ atau apa apa. Selepas itu, lapor kepada pihak atasan,” komen Amy.
“Ini kena serangan seksual. Baik kau buat laporan,” nasihat ZuerJasman.
Perkongsian meraih 682,000 tontonan, 1940 ulang ciapan dan 291 komen. – KOSMO! ONLINE