IMPIAN menggunung seluruh rakyat Malaysia melihat bintang pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi berentap dengan jaguh-jaguh 100 meter (m) dunia di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 mampu menjadi realiti.
Azeem, 19, hanya memerlukan 0.09 saat (s) lagi daripada catatan rekod 100m kebangsaannya, 10.09s untuk melepasi had kelayakan ditetapkan dalam acara itu iaitu 10s bagi menyambar tiket merit ke Perancis tahun depan.
Biarpun sukar tetapi ia boleh menjadi kenyataan berdasarkan prestasi semasa Azeem dalam semua kejohanan bersama Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat tahun ini.
Menariknya, jurulatih pecut universiti itu, Ken Harnden turut meluahkan keyakinan Azeem mampu berlari bawah 10s berdasarkan sikap positif atlet dari Teluk Intan, Perak tersebut.
“Azeem sangat cemerlang walaupun berpindah separuh dunia untuk bersama jurulatih, kawan-kawan, makanan dan sekolah baharu. Walaupun tidak 100 peratus sihat tetapi dia masih berikan prestasi pada tahap tertinggi.
“Saya teruja dengan sikap positif, senyuman dan keazamannya untuk berjuang. Dia cepat belajar dan mudah dilatih selain diberikan didikan dan latihan yang sangat bagus di Malaysia.
“Ya dia boleh berlari bawah 10s tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini selepas Azeem merakam masa 10.04s tetapi tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi kerana bantuan angin +5.5m/s.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menitip harapan agar Azeem layak ke pentas berprestij itu dan kembali mengangkat martabat arena olahraga negara di mata dunia.
“Bukan kita harapkan pingat emas tetapi ia sesuatu yang sangat bagus buat sukan olahraga kalau dia layak ke Olimpik. Dia ada peluang dan mengharapkan dia akan berjaya,” jelasnya.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara pecut 100m di Sukan Olimpik adalah melalui legenda olahraga kebangsaan, Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia.