KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya meraih pingat emas pertama temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja 2023 di Phnom Penh menerusi kejayaan Fraidden Dawan.
Perenang para negara itu menguasai Pusat Akuatik Morodok Techo, Phnom Penh dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki S10 dengan catatan masa empat minit 52.60 saat (s) sebentar tadi.
Atlet dari Sarawak itu menewaskan pemenang pingat perak dari Indonesia, Tangkilisan Steven Sualang yang merakam masa 5:12.82s dan perenang Vietnam, Van Vinh Quach di tempat ketiga dengan catatan 5:23.30s.
Menariknya, kem renang para terus membutirkan dua lagi emas dalam tempoh singkat melalui kejayaan Adib Iqbal Abdullah dalam acara 100m kuak dada lelaki SB14 dan Abd. Halim Mohamad menerusi kategori 100m kuak dada lelaki SB8.
Turut cemerlang ialah perenang, Rusdianto Rusmani apabila berjaya meraih pingat perak 400m gaya bebas lelaki S8 selain atlet olahraga para, Noor Imanina Idris yang meraih tempat kedua acara lontar peluru F20. – KOSMO! ONLINE